Monday, July 5, 2010

Seni Lukisan Gundam Tradisional

Ketika melancong di Pasar Seni pada hujung minggu lepas Awanz tertarik dengan pelbagai kraftangan dan lukisan yang dipamerkan oleh seniman jalanan. Nilai hasil seni tersebut bukan calang-calang oleh itu hanya golongan berada mampu memilikinya. Dalam masa yang sama tercari-cari juga sekiranya ada seniman yang ada menghasilkan karya bermotifkan Gundam (hehe). 
Setelah puas meneroka kesemua gerai memang sah tiada satu pun lukisan Gundam. Mungkinkah Gundam tidak dianggap sebagai karya seni yang sesuai untuk dipamerkan di Galeri Seni? Atau para seniman beraggapan tiada  peminat Gundam akan membeli lukisan robot Gundam? Atau mungkinkah istilah 'robot' tidak sesuai untuk digabungkan dan diasimilasikan sebagai karya tradisional? Persoalan yang tidak terjawab.
 
Namun pada 2005 seorang seniman Jepun bernama Hisashi Tenmyouya secara kreatif telah menghasilkan karya Gundam hasil gabungan unsur moden dan tradisional. Lukisan tersebut yang dinamakan "GUNDAM: Generating Futures" mengambarkan semangat juang dan tradisi samurai pada 'mobile suit' Gundam. Karya tersebut seterusnya dipamerkan di Suntory Museum, Ueno Royal Museum dan sebagainya sebelum akhirnya dijual pada harga USD $615,000-00!. Karya Gundam tersebut memang klasik dan dipenuhi dengan identiti Jepun.
Awanz percaya Gundam mempunyai peminat tersendiri. Alangkah baiknya sekiranya seniman di Pasar Seni dapat menghasilkan lukisan Gundam dengan ciri tradisional tempatan... Siapa tahu ada Gunpla fanatik yang sanggup berhabis untuk membeli karya tersebut.         

Thursday, July 1, 2010

Gundam Termahal Didunia


Bersempena dengan Expo Basel World 2007 iaitu Pameran Jam dan Barang Kemas Terbesar Sedunia di Basel, Switzerland, Bandai Co Ltd dengan beraninya mengumumkan usahasama dengan Ginza Tanaka Jewelery untuk  menghasilkan "GUNDAM FIX PLATINUM"!

Usahasama ini merupakan strategi pintar Bandai bagi mempromosikan serta mendedahkan produk dan watak Gundam kepada dunia golongan elit atasan. Gundam RX-78 2 dalam versi platinum tulen berwarna perak cerah memberi simbol entiti Gundam yang tidak dimamah usia, tulen, prestig dan unggul. Gundam Fix Platinum hasil cantuman 89 bahagian anggota badan  pula membuktikan ketelitian dan hasil seni yang tidak ternilai.     

Gundam Fix Platinum tidak ditawarkan untuk dijual namun anggaran harga pasarannya adalah 30 million yen (sekitar  US$250,000). Ia adalah produk Gundam termahal dan paling unik. Ia diperbuat daripada 1,400 gram platinum tulen. Model ini yang direka dan diilhamkan oleh Hajime Katoki sendiri mengambil masa 2 tahun untuk diciptakan. Model ini adalah setinggi 125 mm dan seberat 1.4kg. Selain daripada stuktur binaan model ini yang diperbuat daripada platinum bahagian sisi kepala pula ditakhtakan dengan berlian 0.15 karat

Gudam termahal ini dipamerkan dari 12 hingga 19 April 2007 dan seterusnya akan disimpan oleh Bandai. Awanz percaya model ini pasti mendapat perhatian dan komen yang positif daripada golongan atasan. Bagi golongan kebanyakan (seperti Awanz hehe) dipersilakan lihat dan hayati keunggulan foto model Gundam  Fix Platinum tersebut. Moga-moga tiada isteri para Gunpla sekalian yang mengidam barang kemas Gundam hehe.


Related Posts with Thumbnails